Pemuda UMNO Malaysia yang diketuai oleh Khairy Jamaludin jangan mengarut minta kerajaan meminda AUKU bagi membolehkan mahasiswa dan pensyarah berpolitik seperti mana kerajaan membenarkan guru DG 41 - DG 48 menyertai secara aktif dalam politik.
Kita harus ingat bahawa mahasiswa adalah golongan 'penuntut ilmu' yang masih dfalam tanggungan keluarga dan sebahagian besarnya dibiayai oleh kerajaan melalui PTPTN. Syarat kerajaan memberikan pinjaman itu untuk menumpukan perhatian penuh kepada pelajaran.
Kita tidak mahu ada perkara lain untuk difikirkan sebelum mereka sampai tamat pengajian. Ijazah atau diploma itu akan menentukan hidup masa hadapan mereka serta azam kerajaan pula menjadi sebuah kerajaan yang berjaya dalam membina insan yang berilmu. Ianya baik bagi sebuah negara bangsa.
AUKU yang berjalan sekarang sebahagian besarnya adalah diperkukuhkan sekitar tahun 1970an selepas demonstrasi Baling oleh para mahasiswa. Sebelum itu mahasiswa bebas berpolitik. Dengan kebebasan itu berbagai-bagai hal timbul sehingga kerajaan tidak dapat mengawalnya. Antara tokoh-tokoh menjadi kepala alamnya pada waktu adalah DS Anwar Ibrahim, Datuk Ibrahim Ali, Bunyamin, Hishamudin Rais dan lain-lain lagi. Kerja mereka tidak lain dari demonstrasi sana, demonstrasi sini dan ramai yang tidak berjaya dalam pelajaran.
Janganlah kita fikir bahawa dengan membebaskan guru-guru untuk aktif dalam politik maka semuanya dituntut untuk dibebaskan. Didalam AUKU telah diberi peluang mahasiswa untuk menyediakan diri menjadi pemimpin dalam pilihan raya kampus atau memilih perwakilan pelajar. Pengalaman dan latihan itu sudah memadai sebagai bekal mereka menyertai masyarakat umum nanti. Seorang pemimpin pelajar yang berjaya dipilih dalam kalangan masyarakat semuanya cerdik pandai bukankah lebih hebat dari diluar sini yang tidak semua cerdik pandai ?.
Masa untuk mereka belajar di IPT tidak terlalu lama, purata antara 3-4 tahun. Selepas itu tepuk dada tanya selera. Jadi masa yang terhad itu harus ditumpukan kepada menggali ilmu sebanyak-banyaknya. Tidak ada gunanya mereka sibuk dengan politik maka bila keluar nanti tidak membawa pulang sebarang kelulusan. Inilah semangat yang terkandung dalam AUKU itu.
Pemuda harus kaji sejarah kenapa AUKU itu dibuat oleh pemimpin terdahulu. Jangan pisang berbuah dua kali. Sesuatu yang hendak dibawa oleh pemuda itu harus mendatangkan kebaikan kepada bangsa. Kita tidak dapat mengawal jika berlaku ketidak seimbangan antara pembelajaran dengan aktiviti politik nanti. Tidak guna pada waktu itu, pemimpin pemuda Malaysia selepas ini mendesak supaya AUKU balik seperti yang berjalan sekarang.
Berbeza dengan golongan guru. Satu ketika guru-guru ijazah sangat kurang. Jadi sekatan terhadap guru ijazah berpolitik setaraf dengan anggota perkhidmatan awam lain itu dikekalkan. Tetapi hari ini bilangan yang berijazah itu tersangat ramai, pada hal guru memainkan peranan penting dalam kebangkitan nasionalisma semakin lama semakin kurang menyertai politik kerana peningkatan mereka sebagai guru lepasan ijazah. Itulah rasionalnya guru-guru dikembalikan hak kebebasan berpolitik.
Apa yang penting pemuda sekarang kena balik kepangkal jalan. Mendekati golongan muda. Membuang sifat elit. Membuang tingkah laku dapat jawatan untuk mendapatkan projek. Tidak mendidik jenerasi muda mengamalkan politik wang. Tidak bersifat angkuh seperti apa yang dikatakan oleh Tan Sri Muhyidin Yasin 'pemimpin UMNO eksyen'. Insha Allah kita tidak hilang warisan pimpinan muda yang memperkayakan kepimpinan UMNO.
Puteri juga risau dengan pengaruh politik wang pemuda itu sudah mula terbawa-bawa dalam puteri. Lama kelamaan puteri yang baru dan bersih ini ikut sama mengamalkan politik kotor itu. Cukuplah kita mengarut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan