Rabu, 19 Mei 2010

Program Realiti TV tidak harus Eksploit Belia Melayu

Program Realiti TV yang diterbitkan oleh ASTRO, TV3 dan mana-mana media tidak wajar dikembangkan kerana ianya mengekploitasikan generasi muda dan belia hari ini. Program ini banyak membawa kepada khayalan dan kegilaan untuk anak-anak muda bercita-cita menjadi artis yang merupakan satu bidang glamour tetapi mendedahkan mereka kepada gejala sosial.

Artis bukanlah satu profesion yang mendatangkan manafaat yang besar dari segi ekonomi seperti profesion lain untuk menjanakan pendapatan. Melahirkan lebih ramai artis bermakna melahirkan lebih ramai model kacau bilau masyarakat. Sejauh ini tidak ramai artis yang muncul menjadi idola dan juga model yang baik kepada masyarakat, sebaliknya dimajalah-majalah dan media-media setiap hari memaparkan isu-isu artis yang terjebak dengan gejala sosial, seperti penagihan dan pengedaran dadah, pecahbelah rumahtangga seolah-olah masyarakat artis itu adalah satu kumpulan masyarakat yang suka bertukar pasangan.

Puteri UMNO telah menyingkap kembali sejarah bagaimana Singapura menghancurkan golongan muda pada permulaan Singapura berpecah dari Malaysia. Anak-anak muda digalakkan melibatkan diri didalam berbagai bidang seperti menubuhkan kumpulan kugiran, kelab tari menari, menjadi model fesyen yang menjolok mata. Kerajaan Singapura membantu mana-mana belia Melayu dalam bentuk peruntukkan kewangan membeli alat-alat muzik dan sebagainya supaya pemikiran belia-belia Melayu di Singapura pada waktu itu tidak memikirkan soal bangsa mereka yang tersepit itu.

Program Realiti ini juga menyedut duit remaja melalui pesanan SMS hingga syarikat-syarikat telekomunikasi dan penerbit untung berlipat ganda. Sepatutnya dengan keuntungan itu mereka menyumbangkan kepada sosial golongan muda bagi mereka menambahkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan program membina masadepan mereka. Namun hasil itu hanya dikaut oleh golongan konglomerat seperti memerah minyak ikan kering.

Kerajaan sepatutnya tidak begitu liberal terhadap program yang membunuh potensi masadepan anak-anak muda.Kecuaian pemerintah masa kini akan mendatangkan kesan jangka panjang kepada generasi masa depan. Dengan itu disarankan kerajaan mengurangkan liberalisasi dalam penerbitan. Ini memandangkan apabila generasi hari ini meningkat dewasa dengan pemikiran yang terlalu liberal mereka tidak lagi mengingati perjuangan bangsa dan agama.

Puteri yang akan mewarisi masadepan negara mendesak kerajaan supaya bertegas dan mengadakan polisi-polisi tertentu bagi membendung hiburan tanpa batas yang akan menjahanamkan masadepan negara.